Dihiaskan kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini
nafsu iaitu wanita-wanita dan anak-pinak; harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih; dan haiwan-haiwan ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), di sisi
Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). [Ali Imran:
ayat 14]
Maka, tersebutlah alkisahnya, pada 21 Februari lalu, telah diadakan
Seminar Dinar Emas 2009 yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa
Kelantan Universiti Malaya.
Langkah persatuan itu kena pada tempatnya. Saya tak sempat menghadiri
seminar itu atas sebab-sebab tertentu. Moga acara seumpama ini akan
dapat dijalankan daripada semasa ke semasa.
(Kepada mereka yang masih belum sedar, kita perlu beritahu
bahawa dunia kita sedang berada di ambang krisis yang parah akibat
sistem kapitalis. Dan, emas itu adalah antara dana penyelamat, aset
bernilai masa depan!)
Saya fikir, adalah satu keperluan yang amat mendesak ke atas
persatuan pelajar tersebut untuk mengadakan ‘follow-up’ ke atas para
peserta bagi mendapatkan maklumbalas berhubung seminar tersebut. Ini
syor pertama.
Dengan ini, persatuan itu dapat mengkaji di manakah kelemahan yang boleh mereka perbaiki dari semasa ke semasa.
Syor kedua, salinan kertas kerja itu perlulah dikaji atau kalau boleh
dibukukan, dijilidkan untuk sebaran umum. Kita boleh cari mana-mana
penerbit yang mungkin berminat menerbitkan hasil kajian, pemikiran dan
cadangan yang dikemukakan oleh para pembentang kertas kerja di dalam
seminar tempoh hari.
Setidak-tidaknya, seminar itu akan menyebabkan makin ramai pesertanya
membeli emas, khasnya kalangan pelajar. Apabila wujud kesedaran membeli
emas sebagai pelaburan dalam kalangan siswa, mungkin beban hutang PTPTN
yang asalnya menjadi ‘liabiliti’ itu boleh diangkat sebagai aset.
Kalaulah seminar itu tidak menyebabkan keghairahan kepada pesertanya
untuk membeli emas, barangkali ini petaka buruk yang bakal menimpa anak
bangsa Melayu Islam dalam jangka masa panjang.
Kalau mahu diulas bab ini, panjang riwayatnya nanti. Tapi, memadailah
kita katakan bahawa emas itulah harta kita yang sebenarnya jika mahu
dibuat simpanan.
Petaka ke atas bangsa ini terjadi akibat kemiskinan. Kemiskinan itu
adalah petaka besar dalam bangsa kita. Ini kerana kekuatan sesuatu
bangsa itu diukur melalui sejauhmanakah aset yang mereka ada.
Berdasarkan nas, dalil daripada Surah Ali Imran: ayat 14, harta-harta
itu adalah..
Keluarga (anak-anak dan isteri), emas, perak, kuda peliharaan
(kenderaan seperti kereta pada zaman ini); haiwan ternak termasuk
kebun-kebun tanaman atau tanah ladang untuk bercucuk tanam.
Kedudukan emas di dalam al-Quran
Sekarang, marilah kita teliti tentang bagaimanakah kedudukan emas di dalam al-Quran itu? Berapa kalikah Allah s.w.t menyebutkan perihal emas itu di dalam al-Quran?
Sekarang, marilah kita teliti tentang bagaimanakah kedudukan emas di dalam al-Quran itu? Berapa kalikah Allah s.w.t menyebutkan perihal emas itu di dalam al-Quran?
Surah Ali Imran, ayat 75 menyebutkan: “Dan antara ahli kitab,
ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar
harga sekali pun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada
kamu dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan
hanya satu dinar saja dia tidak akan mengembalikan kepada kamu, kecuali
kalau kamu selalu menuntutnya.”
Sesungguhnya orang-orang yang kafir lalu mati sedang mereka
tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di
antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan
(emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak
terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong
pun.
[Ali Imran: 91]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina),
mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak
lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): “Tidakkah mereka
memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan
tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya
(berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang
melakukan kezaliman.”
[al-A'raaf: 148]
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara
pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta
orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia)
dari jalan Allah (Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas
dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka
khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu
dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk
mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah
apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah
(azab dari) apa yang kamu simpan itu.
[At-Taubah: ayat 34 - 35]
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari
emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali
akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada
kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai
Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia
yang menjadi Rasul? [Surah Al-Isra': ayat 93]
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya
dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera
yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya
dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah
balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat
yang semolek-moleknya.
[Surah Al-Kahfi: ayat 31]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman
dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir padanya beberapa sungai;
mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan
pakaian mereka di situ dari sutera.
[Surah al-Hajj: ayat 23]
(Balasan mereka ialah) Syurga-syurga “Adn”, yang mereka akan
masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari
emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.
[Surah
Faatir: ayat 33]
“(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan
(oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang
pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi
tentang kebenarannya)?”
[Surah az-Zukhruf: ayat 53]
Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala
dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini
oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada
mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.
[Surah: ayat 71]
Emas kekal sehingga ke akhirat!
Nampaknya emas dan perak ini berperanan juga di negeri akhirat kelak, sama ada dalam syurga atau neraka. Tuhan menyebut di dalam al-Quran betapa orang yang kufur dengan nikmatNya akan dibakar bersama emas dan perak tersebut.
Nampaknya emas dan perak ini berperanan juga di negeri akhirat kelak, sama ada dalam syurga atau neraka. Tuhan menyebut di dalam al-Quran betapa orang yang kufur dengan nikmatNya akan dibakar bersama emas dan perak tersebut.
Dan hal ini mungkin juga hukuman bagi orang yang tidak membayar zakat
atau mereka yang menggunakan emas, perak itu untuk menindas orang
miskin, membeli hamba abdi dan menjatuhkan maruah wanita ke lembah
pelacuran dan lainnya.
Manakala, bagi mereka yang beriman, dipakaikan gelang emas pada
tangan mereka. Ia sesuatu yang diharamkan bagi lelaki di dunia ini,
tetapi dihalalkan bagi mereka di akhirat kelak.
Orang-orang yang beriman, tentulah akan membayar zakat dan ini
menyebabkan harta itu berkitar semula kepada Muslimin dan dengan cara
inilah orang-orang yang susah akan mendapat bantuan dan imbuhannya.
Tidak disebutkan tentang duit ringgit, dollar Amerika, Rupee, Rupiah Indonesia, pesos Filipina atau New Shekels (ILS) di Israel.
Ini kerana, kertas ini adalah ciptaan manusia yang tiada nilainya di
dunia ini pada hakikatnya. Tapi, emas adalah sejenis logam ciptaan Allah
s.w.t yang bersifat kekal sehingga ke akhirat kelak!
Bezanya, jika pemilik emas itu jahat, maka emas itu dibakar di neraka
dan mereka disiksa dengan kepanasan emas yang telah dilebur oleh api
neraka Jahanam itu.
Sebaliknya, mereka yang beramal soleh, pandai menggunakan harta itu
dengan jalan yang betul dan diredhai Allah, maka emas itu akan
dikembalikan kepada mereka di syurga kelak sebagai yang telah disebutkan
Tuhan di dalam al-Quran tadi. Wallahu’alam..
Ali Bukhari Amir
Sat | Feb 28, 09 | 8:26:30 am MYT
8:00 a.m, 28 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Sat | Feb 28, 09 | 8:26:30 am MYT
8:00 a.m, 28 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru
0 comments:
Post a Comment